MOSHAZAT
[ moshazard@hotmail.com | moshazat.blogspot.com ]

Wednesday, February 24, 2010

Webcamgate : Sekolah Intip Pelajar?

Sebuah sekolah menengah di pinggir bandar Philadelphia di Pennsylvania  AS, Lower Merion School District terpaksa menghadapi saman daripada keluarga pelajar Blake Robbins, yang turut mewakili 1800 keluarga pelajar yang lain. Sekolah tersebut disaman kerana dituduh melanggar hak privasi dan mengintip pelajar mereka melalui kamera web komputer riba yang diedarkan oleh sekolah. Kes ini bermula semenjak minggu lepas apabila Penolong Pengetua sekolah LMSD; Lindy Matsko, telah melaporkan kemungkinan salah laku seorang pelajarnya, Blake Robbins mengambil dadah didalam bilik di rumahnya. Ia kemudian menjadi isu apabila pihak sekolah mengemukakan bukti gambar Blake sedang memegang sesuatu yang kelihatan seperti pil dadah, yang diambil melalui kamera web komputer ribanya. Namun dijelaskan oleh Blake bahawa dia hanya memegang gula-gula 'Mike & Ike'.


Lower Merion School District telah memberikan bantuan pinjaman komputer riba Macbook kepada 1800 orang pelajarnya dengan yuran insuran sebanyak $55, dan $100 denda jika berlaku kerosakan atau hilang. Namun kini, didapati bahawa kesemua komputer riba tersebut dilengkapi peranti seperti pepijat yang membolehkan Jabatan Teknologi  sekolah memasuki sistem komputer riba tersebut jika komputer riba tersebut mempunyai talian internet, dan dapat mengambil gambar pegun daripada kamera web itu. Kemampuan sekolah untuk berbuat demikian tidak diberitahu oleh pihak sekolah kepada pelajar-pelajarnya, dan pihak sekolah menjelaskan teknologi intipan itu adalah untuk menyelesaikan masalah jika komputer riba itu dicuri dan hilang, dan gambar lokasi di mana komputer riba itu berada dapat diambil dan dikesan. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 45 kes kecurian dan kehilangan telah berlaku, dan 28 telah berjaya diselesaikan melalui teknologi itu.

Teknologi intipan yang dipasang sekolah itu boleh dikawal secara manual, dan pihak sekolah memberitahu bahawa penggunaan teknologi itu amatlah ketat dan tidak sewenangnya digunakan, dan mereka mengakui hanya menggunakannya sebanyak 42 kali.  Mereka juga mengaku telah memasang teknologi intipan itu kedalam 2300 komputer riba Apple Macbook yang diedarkan kepada pelajarnya, dengan menggunakan aplikasi LANrev. Maklum balas daripada pelajar-pelajar sekolah tersebut mengakui mereka terkejut dengan hal ini, dan ada diantara mereka cuma menampal kertas 'Stamp It' pada kamera web mereka. Bermula daripada minggu ini, arahan terbaru mahkamah telah mengarahkan supaya pihak sekolah menutup fungsi kawalan ke atas kamera web pelajar dan tidak menggunakannya lagi.

Kes ini masih lagi dalam proses penyelesaian di mahkamah. Tetapi perkara seperti ini amatlah mengejutkan jika seseorang mampu untuk memasuki sistem komputer dan menggunakan web kamera komputer pengguna daripada kawalan jauh. Jadi berhati-hati dengan pemberian komputer riba oleh orang lain, kerana kemungkinan mereka memasang pepijat atau teknologi intipan ke dalam mesin anda. Komputer zK pula jika aktif akan mengeluarkan lampu merah, dan sebarang aktiviti kamera web dapat dikesan. Tapi kebanyakan komputer riba yang dilengkapi kamera web tidak mempunyai pengesan aktivi kamera web. Jadi berhati-hatilah.